Wednesday, August 15, 2012

CARA MENYAMBUT HARI RAYA MENURUT SUNNAH



CARA MENYAMBUT HARI RAYA MENURUT SUNNAH

Di antara sunah Nabi s.a.w. dalam menyambut Hari Agung umat Islam ini adalah dengan :

1.Zikir, Takbir, Tahmid, taasbih dan Tahlil.

Banyak berzikir membesarkan Allah, bertakbir, bertahmid, bertasbih dan bertahlil seawal bermulanya malam 1 Syawal. Ia dilakukan sama ada secara berjemaah atau bersendirian, di masjid, surau atau di rumah bersama keluarga. Bahkan pada zaman Rasulullah s.a.w., takbir itu dikumandangkan sehingga ke jalan-jalan, rumah-rumah dan masjid.

2. Membersih dan mengemas diri.

Kita patut membersih atau mengemas diri seperti menggunting rambut di bahagian kepala dan anggota badan agar tampil kemas, segak dan bergaya pada hari raya mulia. Dalam hal ini, bau-bauan yang harum seperti minyak wangi, atar dan sebagainya juga digalakkan bagi meraikan hari mulia ini.

3. Mandi Sunat.

Mandi juga di sunatkan pada pagi 1 Syawal sebagaimana dijelaskan dalam hadis Ibnu Umar di dalam kitab al-Muwatta’, bahawa Rasulullah s.a.w. mandi pada pagi Aidilfitri sebelum Baginda bertolak ke masjid.

4. Makan sebelum menunaikan solat sunat hari raya.

Disunatkan juga makan terlebih dahulu sebelum berangkat ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri berpandukan hadis Anas bin Malik yang menjelaskan bahawa Baginda s.a.w. makan kurma dengan bilangan yang ganjil (3,5,7 dan sebagainya) sebelum pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri.

5. Mengerjakan Solat Sunat Aidil Fitri

Acara yang paling kemuncak pada Hari Raya Aidil Fitri ini adalah solat sunat Aidilfitri. Sunat pula pergi menunaikan solat itu dalam keadaan berjalan kaki sebagaimana mafhum hadis Ali bin Abi Talib dalam Sunan Tirmizi. Cuma bagi yang agak jauh jarak rumah ke masjid, maka bolehlah mereka menaiki kenderaan kerana agama Islam bersikap terbuka dalam bab ini.

Di dalam Sahih Imam Muslim disebutkan bahawa Baginda menunaikan solat sunat Aidilfitri dengan membaca surah al-’Ala pada rakaat pertama dan al-Ghasyiah pada rakaat kedua.

6. Mendengar Khutbah.

Baginda juga menyuruh seluruh umat Islam datang ke lapangan terbuka agar mendengar khutbah hinggakan kepada kaum wanita, tidak kira yang tua atau muda, yang uzur atau sebaliknya. Cuma mereka yang uzur diarahkan agar berada di luar masjid kerana halangan keuzuran tersebut seperti riawayat Ummi ‘Atiah dalam Sahih Bukhari dan Muslim.

7. Memakai pakaian cantik dan terbaik.

Pada pagi hari raya yang indah ini juga, sunat bagi kita memakai pakaian yang terbaik dan tercantik yang termampu. Imam Baihaqi ada menyebutkan bahawa Ibnu Umar menjelaskan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. mengenakan pakaian yang terbaik dan tercantik bagi meraikan kedua-dua hari kebesaran Islam; Aidilfitri dan Aidiladha.

8. Ucapan Tahniah dan Ucap Selamat Hari raya dan Doa.

Pada hari lebaran ini juga sunat bagi kita umat Islam mengucapkan tahniah dan selamat, di samping saling berdoa agar amalan-amalan kita sepanjang Ramadan lepas diterima Allah.

No comments:

Post a Comment